Selasa, 19 Mei 2009

The Changed Style of Thinking

Sepanjang aku menjadi seorang blogger ni, aku mula rasa ada sikit perubahan yang tidak berapa ketara pada diriku. Aku mula menjadi seorang yang asyik berfikir tentang segala perkara. Tidak kira perkara itu penting atau tidak, besar atau kecil, peribadi atau umum. Aku mula asyik berfikir tidak kira di mana sahaja aku berada, aku pasti ingin menganalisis dan juga mencari kesimpulan atas apa yang aku fikirkan. Adakah ini satu perkara baik atau mungkin ada hikmah di sebaliknya?

Pada sudut pandangan yang lain, aku juga terasa yang aku ini telah menjadi seorang yang suka mengkritik. Bukan terhadap seseorang sahaja. Malah terhadap sesuatu, tidak kira apa sahaja. Aku juga terasa yang ada sebahagian dari apa yang aku fikirkan itu hanyalah seperti sesuatu yang kosong. Sesuatu yang tidak membawa kepada apa – apa perubahan. Cuma menambahkan lagi kegelisahan yang sudah lama menjadi “racun” dalam hidup aku.

Kenapa aku mendakwa bahawa rasa gelisah itu seperti racun bagiku? Ini adalah kerana aku sering alami rasa resah gelisah. Rasa gelisah yang tiada sebab. Aku sering rasa susah hati. Malahan, jika aku mempunyai masalah, rasa itu bertambah tebal sehingga menjadikan aku seorang yang sangat pasif (Rasa ini hanya dapat disedari oleh sahabat – sahabat yang rapat denganku sahaja, terutama sekali sahabat yang selalu bersama aku). Semua sudah sedia maklum terutama sekali rakan – rakanku, bahawa aku seorang yang pasif dan tidak mempunyai keyakinan untuk menghadapi sesuatu. Pernah sekali aku menjadi seorang yang sangat pasif. Aku alami “fenomena” ini sewaktu pertama kali bekerja sebagai seorang Operator pengeluaran di sebuah kilang di Pasir Gudang. Aku merasakan seolah – olah aku tidak berupaya melakukan kerja yang diberi. Sedangkan aku hanya bekerja di sebuah kilang, dan bukan berperang. Aku tidak menolak kemungkinan dari kejutan budaya membuatkan aku menjadi sebegitu pasif. Tapi tidaklah relevan jika rasa gelisah yang aku alami boleh membuatkan aku menjadi seorang yang sangat pasif sehinggakan aku hanya mampu untuk duduk di atas kerusi sofa sambil menonton televisyen tanpa berbuat apa – apa sebaik sahaja balik dari bekerja. (Sewaktu dalam keadaan sebegini, hatiku tidak berhenti menangis memikirkan apa yang berlaku seterusnya dan apa yang terjadi pada diriku pada masa hadapan). Tuhan sahaja yang tahu bagaimana bimbangnya aku saat itu.

Tambahan pula jika perkara itu adalah perkara yang besar dan melibatkan masa depan serta dikaitkan antara hidup dan mati. (Hah!, Nampak macam serius je?, jangan takut, tak ada yang serius yang perlu dirisaukan).

Berbalik pada cerita utama yang aku ingin sampaikan. Tentang sifat dan perubahan aku yang mula menjadi seorang yang berfikir. Kenyataan ini tak bermakna yang aku tidak pernah berfikir sebelum ini. Cuma aku ingin sampaikan yang aku tidak lagi seperti seorang kanak – kanak yang hanya tahu main bila bosan, makan bila lapar, tidur bila mengantuk, dan yang sewaktu dengannya. Walaupun sifat seperti ini mungkin dianggap perkara yang baik. Namun aku kadangkala penat. Penat kerana asyik memikirkan tentang persekitaran, penat memikirkan tentang perkara lain sehingga lupa akan diri sendiri.Aku tidak tahu sama ada dakwaan aku boleh diterima atau tidak tapi itu adalah apa yang aku ingin sampaikan.

Bebelan, repekan, celoteh yang tidak bermakna bagi kalian. Maaf jika ada di antara kalian tidak faham dengan apa yang aku tulis. Jika itu berlaku, anggaplah ini sebagai satu cara untuk kalian mendekatkan diri denganku jika mahu. Walaupun aku tahu bahawa tiada siapa yang mahu mengenali diri ini yang tidak memberi keuntungan.

p/s : Atas sebab – sebab yang tak dapat dielakkan, tag yang dkirim oleh kak farhana tidak dapat dilaksanakan. Minta maaf ye kak. Terpulang pada akak kalau nak fikir yang saf malas atau tak ingin nak buat. Yang penting memang saf tak dapat buat.



frensicksignature

2 ulasan:

YomahaYomaso berkata...

salam...ok la tu...berfikir benda2 yg positiv....pemikiran kritis dan creativ sememangnya baik untuk memajukan diri kita....berjalan...melihat, berfikir sambil mentafsir....cewah!!!

Unknown berkata...

Best baca.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails